ASSALAMUALAIKUM. SALAM SEJAHTERA. SALAM 1MALAYSIA.

LATAR BELAKANG

Transformasi Kurikulum Kebangsaan bertitik tolak daripada keputusan Mesyuarat Susulan Jemaah Menteri Bil.6/2008 yang dipengerusikan oleh Y.B. Menteri Pelajaran pada 23 Mei 2008. Satu usaha penambahbaikan dalam sistem pendidikan negara terutamanya di peringkat sekolah rendah perlu dilaksanakan supaya kurikulum persekolahan memenuhi keperluan dan cabaran semasa serta akan datang. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melaksanakan satu kajian dan mendapati wujudnya keperluan untuk melakukan transformasi kurikulum sekolah rendah.



Transformasi kurikulum sekolah rendah merupakan penyusunan semula dan penambahbaikan kurikulum persekolahan rendah sedia ada. Tujuan transformasi adalah untuk memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa bagi menghadapi cabaran abad ke-21. Fokus transformasi kurikulum persekolahan rendah adalah kepada kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M), sebaliknya mengambil kira kemahiran penaakulan, kreativiti dan inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) serta elemen keusahawanan.



Dalam proses transformasi kurikulum persekolahan rendah, KPM telah melakukan penandaarasan dengan kurikulum persekolahan negara maju bagi memastikan kurikulum persekolahan kebangsaan yang dibangunkan setanding dengan pendidikan global. Di samping itu, KPM turut mendapatkan input daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti Pertubuhan Bukan Kerajaan, industri, akademik dan ibu bapa. Berdasarkan kepada input-input tersebut maka konsep kurikulum persekolahan rendah berasaskan standard dibangunkan.



Lanjutan daripada itu, konsep kurikulum persekolahan rendah mendapat kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Pusat Bil.3/2009 pada 2 Oktober 2009. KPM membangunkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) berasaskan prinsip-prinsip Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kurikulum yang dibangunkan turut melibatkan kurikulum Pendidikan Khas. Bagi memastikan kurikulum tersebut mantap, pelaksanaan rintis telah dilakukan di sekolah rendah terpilih di seluruh negara.

Khamis, 15 November 2012

KSSR PENDIDIKAN KHAS

Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Khas dibina selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, berlandaskan prinsip-prinsip pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, peluang dan kualiti pendidikan yang sama untuk semua murid dan pendidikan seumur hidup. KSSR Pendidikan Khas merangkumi kurikulum bagi murid bermasalah pendengaran, bermasalah penglihatan dan bermasalah pembelajaran.

     Murid Pendidikan Khas (Masalah Pendengaran) dan murid Pendidikan Khas (Masalah Penglihatan) secara umumnya menggunakan kurikulum aliran perdana. Sungguh pun begitu, terdapat beberapa pengubahsuaian dilakukan terhadap beberapa mata pelajaran aliran berkenaan (khususnya dari segi pendekatan pengajaran dan pembelajaran) selaras dengan keperluan khas pembelajaran. Murid Pendidikan Khas (Masalah Pendengaran) dan murid Pendidikan Khas (Masalah Penglihatan) masing-masing turut diwajibkan mempelajari mata pelajaran tambahan iaitu Bahasa Isyarat Komunikasi (BIK) dan Kemahiran Asas Individu Masalah Penglihatan (KAIMaL).

     Kurikulum Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran) dibina berdasarkan tahap keupayaan dan keperluan murid. Kurikulum bagi kumpulan murid ini lebih berfokus kepada penguasaan kemahiran bagi memenuhi keperluan individu, dan tidak terlalu menekankan akademik. Di Tahap I, murid Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran) disediakan mata pelajaranAsas 3M, Pengurusan Kehidupan, Seni Kreatif, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Pendidikan Jasmani. Sementara itu di Tahap II, disediakan mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Pendidikan Sains, Sosial dan Alam Sekitar, Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Muzik, Kemahiran Hidup Asas, Teknologi Maklumat dan Komunikasi dan Pengurusan Kehidupan.

     Program pengajaran dan pembelajaran bagi ketiga-tiga kategori ini juga dibentuk secara fleksibel selaras dengan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan