ASSALAMUALAIKUM. SALAM SEJAHTERA. SALAM 1MALAYSIA.

LATAR BELAKANG

Transformasi Kurikulum Kebangsaan bertitik tolak daripada keputusan Mesyuarat Susulan Jemaah Menteri Bil.6/2008 yang dipengerusikan oleh Y.B. Menteri Pelajaran pada 23 Mei 2008. Satu usaha penambahbaikan dalam sistem pendidikan negara terutamanya di peringkat sekolah rendah perlu dilaksanakan supaya kurikulum persekolahan memenuhi keperluan dan cabaran semasa serta akan datang. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melaksanakan satu kajian dan mendapati wujudnya keperluan untuk melakukan transformasi kurikulum sekolah rendah.



Transformasi kurikulum sekolah rendah merupakan penyusunan semula dan penambahbaikan kurikulum persekolahan rendah sedia ada. Tujuan transformasi adalah untuk memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa bagi menghadapi cabaran abad ke-21. Fokus transformasi kurikulum persekolahan rendah adalah kepada kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M), sebaliknya mengambil kira kemahiran penaakulan, kreativiti dan inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) serta elemen keusahawanan.



Dalam proses transformasi kurikulum persekolahan rendah, KPM telah melakukan penandaarasan dengan kurikulum persekolahan negara maju bagi memastikan kurikulum persekolahan kebangsaan yang dibangunkan setanding dengan pendidikan global. Di samping itu, KPM turut mendapatkan input daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti Pertubuhan Bukan Kerajaan, industri, akademik dan ibu bapa. Berdasarkan kepada input-input tersebut maka konsep kurikulum persekolahan rendah berasaskan standard dibangunkan.



Lanjutan daripada itu, konsep kurikulum persekolahan rendah mendapat kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Pusat Bil.3/2009 pada 2 Oktober 2009. KPM membangunkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) berasaskan prinsip-prinsip Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kurikulum yang dibangunkan turut melibatkan kurikulum Pendidikan Khas. Bagi memastikan kurikulum tersebut mantap, pelaksanaan rintis telah dilakukan di sekolah rendah terpilih di seluruh negara.

Khamis, 15 November 2012

KSSR PENDIDIKAN KHAS

Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Khas dibina selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, berlandaskan prinsip-prinsip pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, peluang dan kualiti pendidikan yang sama untuk semua murid dan pendidikan seumur hidup. KSSR Pendidikan Khas merangkumi kurikulum bagi murid bermasalah pendengaran, bermasalah penglihatan dan bermasalah pembelajaran.

     Murid Pendidikan Khas (Masalah Pendengaran) dan murid Pendidikan Khas (Masalah Penglihatan) secara umumnya menggunakan kurikulum aliran perdana. Sungguh pun begitu, terdapat beberapa pengubahsuaian dilakukan terhadap beberapa mata pelajaran aliran berkenaan (khususnya dari segi pendekatan pengajaran dan pembelajaran) selaras dengan keperluan khas pembelajaran. Murid Pendidikan Khas (Masalah Pendengaran) dan murid Pendidikan Khas (Masalah Penglihatan) masing-masing turut diwajibkan mempelajari mata pelajaran tambahan iaitu Bahasa Isyarat Komunikasi (BIK) dan Kemahiran Asas Individu Masalah Penglihatan (KAIMaL).

     Kurikulum Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran) dibina berdasarkan tahap keupayaan dan keperluan murid. Kurikulum bagi kumpulan murid ini lebih berfokus kepada penguasaan kemahiran bagi memenuhi keperluan individu, dan tidak terlalu menekankan akademik. Di Tahap I, murid Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran) disediakan mata pelajaranAsas 3M, Pengurusan Kehidupan, Seni Kreatif, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Pendidikan Jasmani. Sementara itu di Tahap II, disediakan mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Pendidikan Sains, Sosial dan Alam Sekitar, Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Muzik, Kemahiran Hidup Asas, Teknologi Maklumat dan Komunikasi dan Pengurusan Kehidupan.

     Program pengajaran dan pembelajaran bagi ketiga-tiga kategori ini juga dibentuk secara fleksibel selaras dengan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997.

Selasa, 13 November 2012

PERBEZAAN KSSR DAN KBSR



Item

KURIKULUM BARU SEKOLAH RENDAH ( KBSR )

KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH ( KSSR )


Tahun Pelaksanaan

1983 – 2010

2011 – Sekarang


Reka Bentuk Kurikulum

Linear – berasaskan tiga bidang :
Ø  Komunikasi
Ø  Manusia dan Alam Kelilingnya
Ø  Perkembangan Diri Individu

Modular – berasaskan Enam    Tunjang :
Ø  Komunikasi
Ø  Kerohanian, Sikap dan Nilai
Ø  Kemanusiaan
Ø  Perkembangan Fizikal dan Estatika
Ø  Sains dan Teknologi
Ø  Keterampilan Diri


Bahan Kurikulum


Ø  Sukatan Pelajaran
Ø  Huraian Sukatan Pelajaran

Ø  Dokumen Standatd Kurikulum


Organisasi Kurikulum


Tahap
Subjek
1
(Tahun 1,2 & 3)
v  Mata Pelajaran Teras
v  Wajib
v  Teras
2
(Tahun 4, 5 & 6)
v  Teras
v  Wajib
v  Tambahan




Tahap
Subjek
1
(Tahun 1,2 & 3)
v  Modul Teras Asas
v  Modul Teras Tema
v  ModulElektif
2
(Tahun 4, 5 & 6)
v  Mata Pelajaran Teras & Elektif

Fokus


3M ( Membaca, Menulis dan
Mengira )

4M ( Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul )


Elemen


Elemen Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif


Elemen Kreatif dan Inovasi, Keusahawanan dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi ( TMK ) secara eksplisit

Ahad, 11 November 2012

ELEMEN MERENTAS KURIKULUM

Elemen Merentas Kurikulum ialah unsur nilai tambah yang diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran selain yang ditetapkan dalam standard kandungan. Elemen-elemen ini diterapkan bertujuan mengukuhkan kemahiran dan keterampilan modal insan yang dihasratkan serta dapat menangani cabaran semasa dan masa hadapan. Elemen merentas kurikulum yang sedia ada adalah seperti Bahasa, Sains dan Teknologi, Pendidikan Alam Sekitar, Nilai Murni dan Patriotisme.

     Elemen baharu terdiri daripada Kreativiti dan Inovasi, Keusahawanan serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi telah dikenal pasti sebagai pelengkap kepada usaha memantapkan kualiti pelaksanaan KSSR.

     Guru hendaklah memastikan kesemua elemen merentas kurikulum diterapkan secara efektif dalam proses pengajaran dan pembelajaran demi melahirkan insan yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

     Hubungan elemen merentas kurikulum yang sedia ada dan baharu dalam pembangunan insan yang seimbang digambarkan seperti berikut :


Jumaat, 9 November 2012

PERNYATAAN STANDARD - KURIKULUM BERASASKAN STANDARD

Kurikulum Standard Sekolah Rendah digubal dalam bentuk pernyataan standard. Ia terdiri daripada standard kandungan dan standard pembelajaran yang  perlu dicapai oleh murid dalam suatu tempoh dan tahap persekolahan.

          Standard kandungan ini terdiri daripada penyataan spesifik tentang perkara yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan yang merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai.

          Standard pembelajaran pula merupakan satu penetapan kriteria atau petunjuk  kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan.

Rabu, 7 November 2012

ORGANISASI KURIKULUM

Kurikulum Standard Sekolah Rendah diorganisasikan dalam bentuk modular dengan mengelompokkan mata pelajaran dalam kumpulan tertentu yang dikenali sebagai modul. Mata pelajaran juga diorganisasikan secara modular iaitu kandungan mata pelajaran disediakan dalam bentuk modul yang kendiri-lengkap. Setiap modul mengandungi pengetahuan, kemahiran dan nilai yang telah dikenal pasti untuk dikuasai oleh semua murid.
     Pada Tahap I kurikulum diorganisasikan dalam Modul Teras Asas, Modul Teras Tema dan Modul Elektif. Komposisi KSSR Tahap I adalah seperti berikut :
Modul Teras Asas
     Ia merangkumi bidang pembelajaran asas yang terdiri daripada :
a) Modul Bahasa
b) Modul Matematik
c) Modul Pendidikan Jasmani
d) Modul Pendidikan Kesihatan

     Semua modul ini mesti dipelajari oleh murid-murid. Modul Pendidikan Islam mesti dipelajari oleh murid beragama Islam. Manakala Modul Pendidikan Moral dipelajari oleh murid bukan beragama Islam.

Modul Teras Tema

     Ia menggabungkan beberapa disiplin ilmu dalam satu modul. Terdapat dua modul Teras Tema iaitu Dunia Kesenian dan Dunia Sains dan Teknologi.

     Dunia Kesenian terdiri daripada :
a) Dunia Seni Visual
b) Dunia Muzik

     Dunia Sains dan Teknologi pula menggabungkan disiplin :
a) Sains
b) Reka Bentuk Teknologi                                                        
c) Teknologi Maklumat dan Komunikasi 

Modul ini mesti dipelajari oleh semua murid.

Modul Elektif
     Modul elektif merupakan pilihan disiplin bahasa yang ditawarkan kepada murid seperti Bahasa Arab, Bahasa Cina Sekolah Kebangsaan, Bahasa Tamil Sekolah Kebangsaan, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun. Modul ini ditawarkan untuk membolehkan murid berkemahiran dalam pelbagai bahasa.

     Pihak sekolah perlu memilih untuk melaksanakan sekurang-kurangnya satu bahasa dalam Modul Elektif mengikut kesediaan sekolah dalam aspek penyediaan guru, permintaan daripada murid serta prasarana sekolah.
  
     Pada Tahap II, kurikulum diorganisasikan secara modular dalam Mata Pelajaran Teras dan Mata Pelajaran Elektif. Kandungan mata pelajaran disediakan dalam bentuk modul.  Komposisi KSSR Tahap 2 adalah seperti berikut :


Mata Pelajaran Teras


Tunjang


Subjek

Komunikasi

o   Bahasa Malaysia
o   Bahasa Inggeris
o   Bahasa Cina SJKC
o   Bahasa Tamil SJKT


Sains & Teknologi

o   Matematik
o   Sains
o   Reka Bentuk & Teknologi /
     Teknologi Maklumat & Komunikasi


Perkembangan Fizikal & Estatika

o   Pendidikan Jasmani
o   Pendidikan Kesihatan
o   Pendidikan Muzik
o   Pendidikan Seni Visual


Kerohanian, Sikap & NIlai

o   Pendidikan Islam / Pendidikan Moral


Kemanusiaan

o   Sejarah




Mata Pelajaran Elektif


Tunjang


Subjek

Komunikasi Elektif

o   Bahasa Arab
o   Bahasa Cina SK
o   Bahasa Tamil SK
o   Bahasa Iban
o   Bahasa Semai
o   Bahasa Kadazadusun


Keterampilan Diri

* Dilaksanakan melalui aktiviti
kurikulum dan kokurikulum *



Isnin, 5 November 2012

FOKUS KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH

Kurikulum Standard Sekolah Rendah memastikan selepas tamat enam tahun persekolahan, semua murid akan mencapai standard pengetahuan, kemahiran dan nilai yang ditetapkan bagi setiap tahap. KSSR memberi penekanan kepada 4M iaitu kemahiran membaca, menulis, mengira dan menaakul. Kemahiran menaakul adalah keupayaan membuat pertimbangan dan penilaian dengan menggunakan akal atau logik.

     Pada Tahap I, pengajaran dan pembelajaran menekankan penguasaan asas 4M.  Penekanan diberikan untuk literasi dan numerasi bagi membolehkan murid menguasai kemahiran tersebut.  Penekanan juga diberikan kepada kemahiran nilai tambah iaitu kreativiti dan inovasi, keusahawanan dan TMK.
     Pada Tahap II, penekanan diberikan kepada pengukuhan dan aplikasi kemahiran 4M di samping menguasai kemahiran TMK, penguasaan kemahiran yang lebih kompleks, pemerolehan pengetahuan dan perkembangan sahsiah.

Sabtu, 3 November 2012

BENTUK KURIKULUM

Konsep tunjang yang diperkenalkan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah merupakan satu bentuk pengklasifikasian bidang ilmu, kemahiran dan nilai. Konsep-konsep ini berfokus kepada pembentukan modal insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

     Terdapat enam tunjang yang telah dikenal pasti yang mewakili bidang ilmu, kemahiran dan nilai yang menjadi asas kepada pembangunan insan yang berfikiran kreatif, kritis dan inovatif. Tunjang-tunjang tersebut menggambarkan penstrukturan secara eksplisit bidang ilmu, kemahiran dan nilai yang perlu dikuasai murid. Setiap tunjang saling berhubung kait dan bersepadu.

i Tunjang Komunikasi
Ia memberi penekanan kepada proses menggabung jalin kemahiran berbahasa dalam bentuk lisan dan bukan lisan semasa berinteraksi. Tunjang ini memberi fokus kepada kemahiran bahasa seperti mendengar dan bertutur, membaca dan menulis, serta nilai tambah menaakul.

     Murid perlu menguasai kemahiran ini bagi membantu mereka dalam proses pemerolehan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam tunjang-tunjang yang lain. Penguasaan kemahiran berbahasa menyediakan murid untuk membuat pemilihan bahasa yang bertepatan dan sistematik dalam interaksi sosial.
 
     Disiplin ilmu dalam Tunjang Komunikasi ialah Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Arab, Bahasa Cina Sekolah Kebangsaan, Bahasa Tamil Sekolah Kebangsaan, Bahasa Iban, Bahasa Kadazandusun dan Bahasa Semai. 


ii Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika
Ia memberi penekanan kepada perkembangan jasmani dan kesihatan untuk kesejahteraan diri dan pemupukan daya imaginasi, kreativiti, bakat dan apresiasi. Disiplin ilmu yang membangunkan aspek fizikal ialah Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan. Perkembangan kreativiti, bakat dan apresiasi dipupuk melalui Pendidikan Seni Visual dan Pendidikan Muzik.


iii Tunjang Kemanusiaan
Ia memberi penekanan kepada penguasaan ilmu dan  amalan tentang kemasyarakatan dan alam sekitar setempat, negara dan global, penghayatan semangat patriotisme dan perpaduan. Disiplin ilmu yang terdapat dalam Tunjang Kemanusiaan ialah Sejarah yang diperkenalkan mulai Tahap II persekolahan.


iv Tunjang Keterampilan Diri
Ia memberi penekanan kepada pemupukan kepimpinan dan sahsiah diri melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Murid diberi peluang menyepadukan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari di bilik darjah dan mengamalkannya dalam kegiatan kokurikulum.


     Penglibatan dalam kegiatan kokurikulum seperti persatuan, badan beruniform dan sukan memberi peluang kepada murid meningkatkan potensi diri sebagai pemimpin kepada diri, rakan sebaya, keluarga dan masyarakat.


v Tunjang Sains dan Teknologi
Ia memberi penekanan kepada penguasaan:
a)  pengetahuan sains, kemahiran dan sikap saintifik
b)  pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam matematik
c)  pengetahuan dan kemahiran berasaskan teknologi

     Disiplin ilmu yang terdapat dalam Tunjang Literasi Sains dan Teknologi ialah Sains, Matematik, Reka Bentuk dan Teknologi serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi.


vi Tunjang Kerohanian, Sikap Dan Nilai
Ia memberi penekanan kepada bidang pembelajaran yang berfokus kepada penghayatan amalan agama, kepercayaan, sikap dan nilai. Disiplin ilmu dalam tunjang ini merangkumi  Pendidikan Islam bagi murid Islam dan Pendidikan Moral bagi murid bukan Islam. 

Khamis, 1 November 2012

PRINSIP KSSR

Kurikulum Standard Sekolah Rendah akan mengekalkan kesemua prinsip KBSR. Prinsip ini dikekalkan kerana ia masih sesuai dan relevan untuk melahirkan insan yang seimbang dan holistik. Prinsip-prinsip tersebut adalah seperti berikut:
 
i Pendekatan Bersepadu
Tumpuan utama merupakan pendekatan bersepadu. Unsur-unsur pengetahuan, kemahiran dan nilai digabungkan supaya wujud kesepaduan dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial.

ii Perkembangan Individu Secara Menyeluruh
KSSR digubal untuk memastikan semua mata pelajaran berperanan untuk memenuhi keperluan intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial. Setiap potensi murid dikembangkan secara bersepadu.

iii Pendidikan Saksama Untuk Semua Murid
KSSR memberi peluang yang luas dan saksama kepada semua murid untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang menyeluruh dan seimbang.

iv Pendidikan Seumur Hidup
KSSR menyediakan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan oleh semua murid sebagai asas untuk menghadapi cabaran kehidupan seharian dan pendidikan sepanjang hayat.

Selasa, 30 Oktober 2012

HASRAT KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang, berfikiran kreatif, kritis dan inovatif melalui Tunjang-tunjang :
a) Komunikasi
b) Sains dan Teknologi
c) Perkembangan Fizikal dan Estetika
d) Keterampilan Diri
e) Kemanusiaan dan Kerohanian
f) Sikap dan Nilai

     Kurikulum Standard Sekolah Rendah berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan  Dasar Pendidikan Kebangsaan. KSSR mengambil kira cabaran abad ke-21, Model Baru Ekonomi (MBE) dan teori pembelajaran terkini. KSSR menggunakan empat tonggak pendidikan UNESCO iaitu belajar untuk :
* mengetahui 
* bertindak 
* hidup bersama 
membentuk peribadi 

     Murid yang mengikuti KSSR akan mempunyai asas-asas berikut:
* Insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial
* Warganegara yang bertanggungjawab
* Warganegara yang boleh berperanan di arena global 
* Pekerja berilmu