ASSALAMUALAIKUM. SALAM SEJAHTERA. SALAM 1MALAYSIA.

LATAR BELAKANG

Transformasi Kurikulum Kebangsaan bertitik tolak daripada keputusan Mesyuarat Susulan Jemaah Menteri Bil.6/2008 yang dipengerusikan oleh Y.B. Menteri Pelajaran pada 23 Mei 2008. Satu usaha penambahbaikan dalam sistem pendidikan negara terutamanya di peringkat sekolah rendah perlu dilaksanakan supaya kurikulum persekolahan memenuhi keperluan dan cabaran semasa serta akan datang. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melaksanakan satu kajian dan mendapati wujudnya keperluan untuk melakukan transformasi kurikulum sekolah rendah.



Transformasi kurikulum sekolah rendah merupakan penyusunan semula dan penambahbaikan kurikulum persekolahan rendah sedia ada. Tujuan transformasi adalah untuk memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa bagi menghadapi cabaran abad ke-21. Fokus transformasi kurikulum persekolahan rendah adalah kepada kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M), sebaliknya mengambil kira kemahiran penaakulan, kreativiti dan inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) serta elemen keusahawanan.



Dalam proses transformasi kurikulum persekolahan rendah, KPM telah melakukan penandaarasan dengan kurikulum persekolahan negara maju bagi memastikan kurikulum persekolahan kebangsaan yang dibangunkan setanding dengan pendidikan global. Di samping itu, KPM turut mendapatkan input daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti Pertubuhan Bukan Kerajaan, industri, akademik dan ibu bapa. Berdasarkan kepada input-input tersebut maka konsep kurikulum persekolahan rendah berasaskan standard dibangunkan.



Lanjutan daripada itu, konsep kurikulum persekolahan rendah mendapat kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Pusat Bil.3/2009 pada 2 Oktober 2009. KPM membangunkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) berasaskan prinsip-prinsip Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kurikulum yang dibangunkan turut melibatkan kurikulum Pendidikan Khas. Bagi memastikan kurikulum tersebut mantap, pelaksanaan rintis telah dilakukan di sekolah rendah terpilih di seluruh negara.

Sabtu, 3 November 2012

BENTUK KURIKULUM

Konsep tunjang yang diperkenalkan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah merupakan satu bentuk pengklasifikasian bidang ilmu, kemahiran dan nilai. Konsep-konsep ini berfokus kepada pembentukan modal insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

     Terdapat enam tunjang yang telah dikenal pasti yang mewakili bidang ilmu, kemahiran dan nilai yang menjadi asas kepada pembangunan insan yang berfikiran kreatif, kritis dan inovatif. Tunjang-tunjang tersebut menggambarkan penstrukturan secara eksplisit bidang ilmu, kemahiran dan nilai yang perlu dikuasai murid. Setiap tunjang saling berhubung kait dan bersepadu.

i Tunjang Komunikasi
Ia memberi penekanan kepada proses menggabung jalin kemahiran berbahasa dalam bentuk lisan dan bukan lisan semasa berinteraksi. Tunjang ini memberi fokus kepada kemahiran bahasa seperti mendengar dan bertutur, membaca dan menulis, serta nilai tambah menaakul.

     Murid perlu menguasai kemahiran ini bagi membantu mereka dalam proses pemerolehan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam tunjang-tunjang yang lain. Penguasaan kemahiran berbahasa menyediakan murid untuk membuat pemilihan bahasa yang bertepatan dan sistematik dalam interaksi sosial.
 
     Disiplin ilmu dalam Tunjang Komunikasi ialah Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Arab, Bahasa Cina Sekolah Kebangsaan, Bahasa Tamil Sekolah Kebangsaan, Bahasa Iban, Bahasa Kadazandusun dan Bahasa Semai. 


ii Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika
Ia memberi penekanan kepada perkembangan jasmani dan kesihatan untuk kesejahteraan diri dan pemupukan daya imaginasi, kreativiti, bakat dan apresiasi. Disiplin ilmu yang membangunkan aspek fizikal ialah Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan. Perkembangan kreativiti, bakat dan apresiasi dipupuk melalui Pendidikan Seni Visual dan Pendidikan Muzik.


iii Tunjang Kemanusiaan
Ia memberi penekanan kepada penguasaan ilmu dan  amalan tentang kemasyarakatan dan alam sekitar setempat, negara dan global, penghayatan semangat patriotisme dan perpaduan. Disiplin ilmu yang terdapat dalam Tunjang Kemanusiaan ialah Sejarah yang diperkenalkan mulai Tahap II persekolahan.


iv Tunjang Keterampilan Diri
Ia memberi penekanan kepada pemupukan kepimpinan dan sahsiah diri melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Murid diberi peluang menyepadukan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari di bilik darjah dan mengamalkannya dalam kegiatan kokurikulum.


     Penglibatan dalam kegiatan kokurikulum seperti persatuan, badan beruniform dan sukan memberi peluang kepada murid meningkatkan potensi diri sebagai pemimpin kepada diri, rakan sebaya, keluarga dan masyarakat.


v Tunjang Sains dan Teknologi
Ia memberi penekanan kepada penguasaan:
a)  pengetahuan sains, kemahiran dan sikap saintifik
b)  pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam matematik
c)  pengetahuan dan kemahiran berasaskan teknologi

     Disiplin ilmu yang terdapat dalam Tunjang Literasi Sains dan Teknologi ialah Sains, Matematik, Reka Bentuk dan Teknologi serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi.


vi Tunjang Kerohanian, Sikap Dan Nilai
Ia memberi penekanan kepada bidang pembelajaran yang berfokus kepada penghayatan amalan agama, kepercayaan, sikap dan nilai. Disiplin ilmu dalam tunjang ini merangkumi  Pendidikan Islam bagi murid Islam dan Pendidikan Moral bagi murid bukan Islam. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan