ASSALAMUALAIKUM. SALAM SEJAHTERA. SALAM 1MALAYSIA.

LATAR BELAKANG

Transformasi Kurikulum Kebangsaan bertitik tolak daripada keputusan Mesyuarat Susulan Jemaah Menteri Bil.6/2008 yang dipengerusikan oleh Y.B. Menteri Pelajaran pada 23 Mei 2008. Satu usaha penambahbaikan dalam sistem pendidikan negara terutamanya di peringkat sekolah rendah perlu dilaksanakan supaya kurikulum persekolahan memenuhi keperluan dan cabaran semasa serta akan datang. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melaksanakan satu kajian dan mendapati wujudnya keperluan untuk melakukan transformasi kurikulum sekolah rendah.



Transformasi kurikulum sekolah rendah merupakan penyusunan semula dan penambahbaikan kurikulum persekolahan rendah sedia ada. Tujuan transformasi adalah untuk memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa bagi menghadapi cabaran abad ke-21. Fokus transformasi kurikulum persekolahan rendah adalah kepada kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M), sebaliknya mengambil kira kemahiran penaakulan, kreativiti dan inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) serta elemen keusahawanan.



Dalam proses transformasi kurikulum persekolahan rendah, KPM telah melakukan penandaarasan dengan kurikulum persekolahan negara maju bagi memastikan kurikulum persekolahan kebangsaan yang dibangunkan setanding dengan pendidikan global. Di samping itu, KPM turut mendapatkan input daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti Pertubuhan Bukan Kerajaan, industri, akademik dan ibu bapa. Berdasarkan kepada input-input tersebut maka konsep kurikulum persekolahan rendah berasaskan standard dibangunkan.



Lanjutan daripada itu, konsep kurikulum persekolahan rendah mendapat kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Pusat Bil.3/2009 pada 2 Oktober 2009. KPM membangunkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) berasaskan prinsip-prinsip Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kurikulum yang dibangunkan turut melibatkan kurikulum Pendidikan Khas. Bagi memastikan kurikulum tersebut mantap, pelaksanaan rintis telah dilakukan di sekolah rendah terpilih di seluruh negara.

Selasa, 30 Oktober 2012

HASRAT KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang, berfikiran kreatif, kritis dan inovatif melalui Tunjang-tunjang :
a) Komunikasi
b) Sains dan Teknologi
c) Perkembangan Fizikal dan Estetika
d) Keterampilan Diri
e) Kemanusiaan dan Kerohanian
f) Sikap dan Nilai

     Kurikulum Standard Sekolah Rendah berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan  Dasar Pendidikan Kebangsaan. KSSR mengambil kira cabaran abad ke-21, Model Baru Ekonomi (MBE) dan teori pembelajaran terkini. KSSR menggunakan empat tonggak pendidikan UNESCO iaitu belajar untuk :
* mengetahui 
* bertindak 
* hidup bersama 
membentuk peribadi 

     Murid yang mengikuti KSSR akan mempunyai asas-asas berikut:
* Insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial
* Warganegara yang bertanggungjawab
* Warganegara yang boleh berperanan di arena global 
* Pekerja berilmu